semasa

Tongkat khutbah tulang ikan yu paus berusia 126 tahun di masjid Terengganu

KUALA TERENGGANU – Tongkat khutbah tulang ikan yu paus berusia 126 tahun di masjid TerengganuSesiapa sahaja yang melewati Masjid Losong Haji Mohd yang terletak di pinggir bandar raya Kuala Terengganu pasti tidak menyangka di dalamnya terdapat sebatang tongkat khutbah berusia 126 tahun, dipercayai diperbuat daripada tulang ikan yu paus.

Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Harleny Abd Arif berkata selain pada bahagian hulu tongkat tersebut, tulang ikan yu paus dijadikan sebagai sebahagian daripada 99 gelung kecil berbentuk segi lapan dan ia disarungkan pada tongkat kayu sepanjang lebih kurang 1.5 meter itu.

“Sebahagian gelung kecil yang menyerupai cincin itu diperbuat daripada tulang ikan yu paus yang disusun berselang-seli dengan spesies kayu keras. Pada permukaan luar setiap gelung kecil itu pula dihiasi dengan ukiran bermotifkan geometrik,” katanya kepada Bernama di masjid itu yang terletak di Kampung Losong Haji Mohd di sini baru-baru ini.

Beliau berkata pada permukaan setiap ukiran tersebut juga ditampalkan kulit tiram dengan menggunakan teknik ‘inlay’ (tebuk, tampal dan gosok) yang mana penggunaan kulit hidupan laut itu turut ditemukan pada barangan perhiasan dari India dan Pakistan.

Dalam pada itu katanya, terdapat ukiran aksara Arab yang tertulis 1312 Hijrah pada hulu tongkat khutbah tersebut dan apabila ditukar pada tahun masihi ia bersamaan dengan 1895 Masihi, yang diyakini merupakan tahun pembuatan tongkat itu.

Katanya, usia tongkat khutbah itu juga seiring dengan usia pembinaan Masjid Losong Haji Mohd yang sedia ada kini iaitu sekitar penghujung 1890-an. Masjid tersebut dibina baharu kira-kira 50 meter dari tapak masjid lama.

Sebelum ini, Bernama melaporkan mengenai penemuan sebuah mimbar berusia 211 tahun yang terdapat di dalam ruangan solat masjid tersebut oleh Harleny.

Harleny berkata antara faktor kemungkinan tulang ikan yu paus digunakan pada pembuatan tongkat khutbah itu adalah kerana sejak dahulu lagi perairan tanah air telah menjadi lokasi laluan dan persinggahan spesies ikan itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif UPSI Drs Izani Mat Il yang turut sama menjalankan kajian terhadap tongkat khutbah itu berkata tulang ikan yu paus yang digunakan adalah daripada bahagian sirip.

Hal ini kerana jisim tulang ikan pada bahagian sirip lebih mampat berbanding bahagian tulang lain dan ia kebiasaannya digunakan oleh masyarakat zaman dahulu untuk penghasilan kraftangan, katanya.

“Tulang ikan ini hampir menyerupai gading gajah, tetapi lokasi penemuan itu (tongkat khutbah) berdekatan dengan kawasan pantai jadi agak mustahil sekiranya ia gading gajah. Dan agak jarang kraftangan diperbuat daripada gading gajah kerana amat mahal dan jarang didapati kecuali di kawasan pergunungan,” katanya.

“Lazimnya, usia binaan sesebuah masjid bersama mimbar dan tongkat khutbahnya adalah seiring. Namun yang menariknya mengenai Masjid Losong Haji Mohd ini, usia mimbarnya (lebih 200 tahun) berselisih lebih 80 tahun daripada usia tongkat khutbah (lebih 120 tahun).

“Mimbar tersebut telah dipindahkan dari tapak masjid yang asal ke masjid sekarang, manakala pembuatan tongkat khutbah pula dihasilkan kemudiannya dan ia selari dengan usia seni bina masjid baharu,” katanya.

Beliau menambah ikan yu paus yang sering dijumpai di Laut China Selatan itu merupakan spesies hampir pupus dan kehadirannya yang berhijrah secara bermusim, kini sentiasa dinantikan golongan penyelam terutama di perairan Tanjung Datu, Sarawak dan perairan Temajuk di Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan masyarakat pada zaman dahulu menghasilkan kraftangan daripada sumber alam semula jadi yang terdapat di sekeliling mereka, seperti tongkat khutbah itu yang mungkin dihasilkan oleh golongan nelayan yang tinggal di pesisir pantai selepas menjumpai tulang ikan yu paus tersebut.

“Sebelum ini saya dengar daripada orang-orang terdahulu sahaja bahawa tongkat ini dibuat daripada tulang ikan yu paus. Sejak sekian lama, ini kali pertama ada golongan penyelidik yang datang ke masjid buat kajian terhadap tongkat ini,” katanya sambil memberitahu tongkat tersebut masih digunakan hingga ke hari ini.

Dalam pada itu, Izani berkata beliau percaya tongkat khutbah tersebut telah dihasilkan dengan penuh teliti sehingga membolehkan keindahan dan keutuhannya kekal terpelihara sampai ke hari ini.

“Pada zaman dahulu kalau berkait dengan institusi raja atau pusat ibadat, sesuatu benda itu akan dihasilkan dengan sepenuh jiwa. Begitu juga kita tengok masjid-masjid lama yang kekal hingga hari ini kerana orang-orang dahulu akan pilih kayu dan teknik terbaik untuk membina masjid. Begitu juga dengan tongkat khutbah ini yang dibuat dengan penuh teliti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Losong Haji Mohd, Mohd Muda berkata tongkat khutbah daripada tulang ikan yu paus itu telah sekian lama diketahui penduduk setempat dan kisahnya diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi.

Mohd berkata beliau bersama ahli jawatankuasa masjid akan menjaga tongkat khutbah itu agar ia sentiasa terpelihara untuk menjadi kegunaan dan kebanggaan generasi akan datang.- BERNAMA

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih .

Sumber bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *