semasa

Idris Khan tak setuju ‘tabur’ duit kepada pelajar cemerlang SPM, kasihan kepada calon kurang bernasib baik

SEPERTI sudah menjadi trend, ramai selebriti mula menawarkan ganjaran wang tunai kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Namun langkah itu tidak disenangi pelakon Idris Khan Abdul Ghaffar Khan, 33, kerana menurutnya ia boleh menjejaskan emosi pelajar yang memperoleh keputusan yang kurang memuaskan.

“Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan ganjaran berupa wang ringgit. Lain la kalau mereka umumkan sejak daripada awal kalau sesiapa dapat 5A ke atas contohnya, akan bagi hadiah.

“Tapi apabila dah dapat keputusan baru nak bagi, saya rasa benda itu tidak adil untuk pelajar,” katanya ketika dihubungi mStar.

Idris berkongsikan pandangannya di Instastory.

Sebelum ini beberapa selebriti tempatan termasuk pelakon Wawa Zainal dan pendakwah bebas PU Riz menawarkan ganjaran wang tunai kepada lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang.

Pelajar dengan keputusan yang memenuhi syarat ditetapkan hanya perlu menghantar mesej langsung (direct message) di Instagram mereka beserta bukti.

Mengulas lanjut Idris berkata, dia berharap pada masa akan datang ganjaran wang tunai boleh digantikan dengan peralatan pembelajaran yang lebih berfaedah untuk jangka masa panjang.

“Saya lebih bersetuju sekiranya mereka yang nak menyumbang itu berikan peralatan seperti laptop, tablet atau buku ilmiah untuk tingkatkan lagi mutu pembelajaran pelajar lepasan SPM selain membantu pelajar yang lebih susah.

“Kadang-kadang mereka tak cemerlang itu bukan kerana tak pandai, tapi mungkin sebab mereka tiada kemudahan untuk belajar online lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang,” katanya.

Selain itu menerusi perkongsian di Instastory, Idris berkata keputusan SPM bukanlah pengakhiran kepada kehidupan seseorang.

“Pertama sekali keputusan SPM bukanlah pengakhiran hidup, malahan ia adalah permulaan hidup kamu.

“Secara peribadi tak kisah kamu dapat 15A, 10A, 5A atau semua D. Saya dulu dapat result 4A, 3B, 3C dan 1D dan lihat rezeki saya hari ini, Alhamdulillah.

“Kita sepatutnya raikan usaha (pelajar lepasan SPM). Kalau gagal tidak mengapa, teruskan jangan putus asa yang penting kita lihat balik apa yang kamu buat salah, macam mana nak work on yourself dan sentiasa perbaiki diri.

Bagi Idris, SPM hanyalah permulaan kepada perjalanan hidup seseorang selepas itu.

Pelakon drama Tuan Danial ini berkata dia bimbang sekiranya budaya memberi wang ganjaran ini diteruskan ia seolah-olah membawa mesej yang salah bahawa SPM adalah segala-galanya.

“Bila buat macam ini ia seolah-olah bias terhadap pelajar yang dapat result bagus sahaja dan beri mesej salah mengatakan SPM adalah segala-galanya.

SPM is nothing, banyak lagi perkara besar lain lagi yang menanti adik-adik ini semua selepas itu,” katanya lagi.

Keputusan SPM 2020 diumumkan pada 10 Jun lalu dan mencatatkan pencapaian calon yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding 4.86 pada 2019.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih .

Sumber mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *