semasa

Penumpang tiada duit kecil, pemandu Grab halalkan je… sebulan kemudian dapat surat misteri dan ganjaran diselit di wiper kereta!

Penumpang tiada duit kecil, pemandu Grab halalkan je… sebulan kemudian dapat surat misteri dan ganjaran diselit di wiper kereta!Siapa sangka, tindakan seorang pemandu Grab menghantar seorang penumpang tanpa mengambil sebarang bayaran sebulan yang lalu, dibalas kembali dengan ganjaran sebagai menghargai kebaikannya.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemandu syarikat e-hailing itu yang hanya mahu dikenali sebagai Shahrin berkata, dia hanya mengetahui mengenai ‘ganjaran’ tersebut selepas dimaklumkan isterinya, Nurul Hidayah Abdul Rahman.

“Beberapa hari lalu, isteri yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Sultan Ismail bawa kereta ke tempat kerjanya. Masa dah habis waktu bekerja, dia pun pergi ke parking dan hidupkan enjin.

“Tak semena-mena terlihat dekat wiper macam ada benda terselit. Dia pun keluar untuk ambil sampul plastik yang terselit tu. Rupa-rupanya sepucuk surat yang ditulis mengucapkan terima kasih.

Surat tersebut ditemui oleh isteri Shahrin yang kebetulan menggunakan kereta pada hari berkenaan.

“Ia ditulis oleh sepupu kepada individu yang saya tumpangkan. Mungkin individu tu ada bercerita kepada ahli keluarganya. Saya hairan juga sebab tak pernah beri nombor telefon atau maklumat lain. Tapi mungkin dia cam nombor pendaftaran,” katanya yang menetap di Pasir Gudang, Johor.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Menurutnya, selain sepucuk surat, individu itu turut meninggalkan wang tunai sebagai menghargai pertolongannya tempoh hari.

Terdahulu, video yang dimuat naik oleh isteri Shahrin mengenai ‘surat misteri’ itu di aplikasi TikTok meraih melebihi 190,000 tontonan.

Selain menjadi pemandu e-hailing pada sebelah petang, Shahrin bekerja sebagai rider OdeJee pada sebelah pagi.

Menurut bapa kepada dua anak berusia 30 tahun ini, dia sama sekali tidak menyangka akan menerima ‘ganjaran’ memandangkan insiden tersebut berlaku kira-kira sebulan yang lalu.

Mengimbas kembali kisah tersebut, Shahrin berkata ketika itu dia baru memulakan kerja di sebelah petang dan individu berkenaan adalah penumpang pertamanya.

“Saya biasa buat e-hailing sebelah petang. Sebelah pagi saya jadi rider penghantar makanan. Nak dipendekkan cerita, saya dapat pelanggan pertama iaitu penumpang wanita dan perlu menjemputnya di Hospital Penawar, Pasir Gudang. Penumpang itu mahu ke Taman Air Biru.

“Apabila sampai di destinasi, tambang yang perlu dibayar RM5.00 tapi akak tu tak ada duit kecil. Dia ada RM50 kalau saya tak silap. Saya pula tak ada duit kecil untuk dipulangkan wang baki sebab itu pelanggan pertama.

“Jadi saya pun beritahu tak mengapa, saya halalkan dan ikhlas. Dia serba salah. Saya kata akak doakan saja rezeki saya dan keluarga murah. Dia pun ucapkan berbanyak terima kasih. Saya pun berlalu dan tak fikir apa-apa dah.

“Tak sangka pun dia masih ingat dan mahu balas apa yang saya buat dulu. Nilai wang yang dia sertakan dalam sampul tu, biarlah saya rahsiakan nilainya,” ujarnya.

Antara komen netizen terhadap perkongsian video tersebut di TikTok.

Malah menurut Shahrin, dia juga langsung tidak tahu menahu perkara tersebut menjadi tular selepas dimuat naik oleh isterinya di TikTok.

“Saya tak tengok sangat TikTok dia… syukurlah apabila orang komen baik-baik dan mendoakan untuk kami. Apa yang boleh saya katakan, buatlah sesuatu dengan ikhlas.

“Tolong menolong kan tanggungjawab bersama. Sekarang hari orang lain dalam kesusahan, mana tahu esok lusa hari kita pula. Saya yakin, jika pemandu lain pun mesti mereka akan melakukan perkara yang sama,” katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih .

Sumber: sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *