semasa

Suspek Bunvh Anak Sendiri Yang Berusia 8 Bulan,Dikatakan Mungkin Ikut Ajaran Sesat

KOTA BHARU: Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang dipercayai membunuh anaknya berusia lapan bulan di Kampung Sungai Dua, Bachok, pagi semalam ada kaitan dengan ajaran sesat.

 

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata ini berdasarkan cara bayi lelaki berkenaan dibunuh dan badan dilumur garam serta halusinasi yang dialami suspek.

Katanya, sehingga kini suspek berusia 40 tahun itu tidak bercakap untuk diambil keterangan, sebaliknya hanya berzikir dan memaklumkan dia mendengar suara malaikat, sebelum membunuh anaknya.

 

“Selain bapa mangsa, polis turut menahan isteri suspek yang juga ibu mangsa berusia 32 tahun bagi membantu siasatan. Wanita berkenaan masih dirawat di hospital memandangkan keadaannya yang masih trauma.

 

“Ujian air kencing yang dilakukan terhadap pasangan suami isteri berkenaan juga negatif,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, di sini, hari ini.

 

Dalam kejadian pagi semalam, seorang bayi lelaki berusia lapan bulan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati, termasuk badan dilumur garam dipercayai dibunuh bapa kandung menggunakan objek tumpul.

 

Kematian Wan Mohamad Afiq Wan Roslan dipercayai dilakukan bapa mangsa yang mengalami masalah gangguan mental, sebelum disedari jam 11.30 pagi.

 

Mengulas lanjut, Shafien berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya menunggu keputusan laporan kimia sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebalianya.

 

“Berdasarkan laporan bedah siasat yang baru selesai jam 5 pagi tadi, punca kematian bayi berkenaan disebabkan kecederaan di kepala disebabkan hentakan.

 

“Berdasarkan kecederaan, mungkin bayi itu jatuh atau dipukul dengan objek tertentu,” katanya.

 

Beliau berkata, polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suami isteri pagi ini.

 

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *